PAKAIAN TRADISIONAL SILAT KUNTA

PAKAIAN TRADISIONAL SILAT KUNTA
Tutup kepala dinamakan 'blangkon' sampin 'dinamakan 'liron'

Selasa, 1 September 2009

JURUS 3

Jurus 3

Jurus 3 - merupakan latihan seni silat kunta yang melibatkan pergerakan kaki, lutut, siku, tumbukan, tendangan dan tedasan.

Pergerakkannya pula melibatkan langkahan kaki kiri dan kanan, gerakan menyisi kiri dan kanan, dirian tegak, pusingan badan melalui pertukaran kekuda tanpa menukar atau merubah kedudukan kaki hanya pusingan badan sahaja.

Latihan Praktikal Jurus 3

Bermula seperti kedudukan dalam jurus 2.

Pelatih berdiri dengan kaki dibuka jarak selebar bahu dalam kedudukan separuh berdiri. Kedua tangan dijurus ke hadapan lalu membuat pergerakan dengan membengkukkan tangan seakan orang sedang berdoa. Kemudian tangan kanan disilangkan bergerak melalui tangan kiri lawan jam ke lutut kiri dan berhenti di lutut kanan dan bawa naik ke dada. Diikuti dengan gerakan kedua tangan kiri melintasi tangan kanan mengikut arah jam melintasi lutut kanan dan bawa ke lutut kiri dan bawa naik ke arah arah dada dalam kedudukan orang sedang berdoa.

Latihan seterusnya.........(fasa satu)
Langkah kanan bergerak ke hadapan dengan tumbukan tangan kanan. Seterusnya tarik kaki kanan rapat ke kaki kiri dan buangkan ke sebelah kanan manakala kedudukan dada mengarah ke hadapan dengan tangan kanan bengkuk tegak ditangkiskan ke arah tapak tangan kiri dengan gabungan hentakan belakang penumbuk ke atas tapak tangan kiri. Lalu menukar pergerakan ke hadapan diikuti dengan lutut kaki kanan yang ditangkis dengan tangan kiri dan disusuli oleh tendangan ke hadapan kaki kanan dan tamatkan dengan langkah kaki kanan.

Fasa dua.....

Langkah ke hadapan dengan kaki kiri disertai lecutan tumbukan tangan kiri. Kemudian tarik kaki kiri ke sebelah kiri dengan tangkisan siku tangan kiri yang ditampan dengan tapak tangan kanan lalu disudahi dengan hentakan tangan kiri ke atas tapak tangan kanan. Kemudian tarik kaki kiri bergerak ke hadapan dengan pukulan lutut ditangkis dengan tapak tangan kanan dan diteruskan dengan tendangan kaki kiri ke hadapan melangkah dan bertapak dengan kaki kiri di hadapan disusuli dengan tumbukan kiri.

Seterusnya ulanglah pergerakan tersebut berulang-ulang daripada fasa 1 fasa2 fasa 1 fasa 2 dan seterusnya..... beberapa kali ulangan ke hadapan. Untuk bergerak balik ke belakang..... berhenti melangkah pada kaki kanan di hadapan dan bawa kaki kiri rapat ke kaki kanan berdiri tegak dengan tangan kanan dijuruskan ke hadapan.

Seterusnya, ..... tarik kaki kiri ke belakang dalam kekuda separuh dengan membuat sikuan ke arah kiri dan susuli dengan kuakkan kedua-dua belah tangan ke arah luar badan dan seterusnya membuat pukulan guntingan dan disusuli dengan tendangan kaki kanan ke hadapan dan terus bertapak. Kemudian pusingkan badan ke belakang dengan mengubah kekuda menjadi kaki kiri di hadapan.

Gerakan pusingan sama seperti dalam jurus 2.

Begitulah keadaan dan kedudukan jurus 3. Keterangan lanjut rujuk kepada mereka yang pernah belajar secara praktikal.

Selamat berpraktikal.

Ahad, 16 Ogos 2009

JURUS DUA - KUNTA

Selamat bertemu kembali dalam membicarakan seni silat kunta. Kali ini kita akan melangkah kejurus dua.

Latihan jurus menumpukan kepada langkahan, tumbukan, tendangan, tedasan dan pusingan yang terangkum di dalamnya tangkisan, tumbukan, tendangan dan tedasan.

Jurus dua

Bermula dengan buka sembah - melangkah ke hadapan dengan lecutan tumbukan kanan dan diikuti tendangan kaki kiri dan tamatkan dengan tedasan tangan kiri. Kemudian diteruskan dengan tendangan kaki kanan dan ditamatkan dengan tedasan tangan kanan dan seterusnya berulang-ulang sehingga berhenti dengan kaki kanan di hadapan lalu pusing ke belakang tanpa menggerakkan kaki hanya bertukar kekuda dan pusingan badan.

Pusingan badan bersama bertukanya kekuda menghadap belakang mesti diiringi tangkisan tangan kiri dan disusuli tumbukan kanan dan diikuti tumbukan kiri dan diakhiri tendangan kaki kanan dan terus bertapak ke hadapan dengan diikuti satu tedasan tangan kanan.

Latihan jurus dua diteruskan dengan tendangan kaki kiri diikuti tedasan tangan kiri, tendangan kaki kanan diikuti tedasan tangan kanan dan seterusnya mengikut ketahanan pelatih dan ruang latihan. Berhenti dengan kaki kanan di hadapan dan buat pusingan badan dengan gerakan kekuda tanpa mengalihkan kaki seperti dalam pergerakan pertama yang telah dijelaskan di atas.

Selamat berlatih jurus dua seni silat kunta.

Sehingga bertemu lagi. Selamat menyambut kedatang Ramadhan. Selamat berpuasa.

Isnin, 13 Julai 2009

PAKAIAN TRADITIONAL KUNTA

Bahagian atas - kepala dinamakan 'BLANGKON' manakala sampin kain batik dinamakan 'LIRON'

Ahad, 12 Julai 2009

JURUS SILAT KUNTA

Silat KUNTA ada 3 jurus.

Peranan jurus dalam silat kunta adalah untuk melatih pesilat supaya dapat membuat gerakan dengan tepat dan lancar semasa memasuki peringkat ketiga - langkahan.

Suka paman jelaskan di sini. Silat kunta boleh dipecahkan kepada 7 peringkat secara asasnya. Peringkat Pertama - Latihan Pernafasan
Peringkat Kedua - Latihan Jurus
Peringkat Ketiga - Latihan Langkah
Peringkat Keempat- Sifat bermain-main
Peringkat Kelima - Sifat bermain
Peringkat Keenam - Sifat berlawan
Peringkat Ketujuh - Guna Senjata

Peringkat Pertama telah paman jelaskan berhubung dengan latihan pernafasan. Maaflah takder gambar untuk menambah jelas praktikalnya latihan pernafasan ini. Latihan pernafasan kenalah datang jumpa paman dan kita sama-sama berlatih untuk mendapat kesan yang lebih baik dan tepat.

Peringkat ke 2 - Latihan Jurus.

Seperti yang telah dinyatakan, jurus dalam kunta ada tiga peringkat/bahagian. Setiap peringkat ada kelebihannya dan saling bergabung untuk menjadi satu gerakan.

Peringkat 1 dalam jurus satu

Bertujuan untuk melatih gerakan kaki dalam melangkah dan lecutan tumbukan supaya selaras. Praktikalnya - gerakan ini mulakan dengan dirian tegak dan rapat kaki. Kemudian menghamburkan badan ke atas dengan lutut bengkuk dan mendarat kaki terbuka melebihi luas bukaan bahu. Atau cara kedua..............

Berdiri tegak, tangan kiri menyilang ke belah kanan menahan genggaman tumbuk tangan kanan di sisi pinggang. Kemudian gerakkan kedua-dua tangan mengarah ke pusat dengan kedudukan tapak tangan kiri terbuka dengan merapatkan jejari menghala ke atas manakala genggaman penumbuk tangan kanan lekat di tapak tangan kiri berhenti di tengah pusat.

Kemudian kedua-dua tangan kanan dan kiri dilibaskan ke bawah menyentuh lutut, serentak kaki kanan digerak ke sisi kanan dan seakan-akan separuh duduk atau mencangkung. Kedua-dua tangan dijuruskan lurus ke hadapan dengan memperlihatkan telapak tangan. Kemudian bengkukkan tangan rapat ke dada dengan telapak tangan seakan orang sedang berdoa. Gerakkan tangan kanan dengan menggenggam penumbuk melibas ke bawah sehingga ke lutut kanan dan balik semula keposisi asal. Diikuti dengan tangan kiri dengan gerakan yang sama seperti tangan kanan tadi.

Fasa berikutnya - melangkah jurus.

Dari kedudukan separuh duduk dengan tangan seperti orang berdoa mulakan dengan melangkah kaki kanan ke hadapan tepat dan disusuli tumbukan tangan kanan. Kemudian melangkah kaki kiri dengan tumbukan tangan kiri, dan seterusnya melangkah dan menumbuk silih berganti.

Hentikan langkahan dengan kaki kanan dan pusingkan badan tanpa menggangkat kaki untuk mengubah kedudukan. Anda hanya perlu pusingkan badan menghadap belakang dengan menukarkan kedudukan kuda-kuda dari kaki kanan di hadapan menjadi kaki kiri di hadapan. Bila membuat pusingan pastikan tangan kiri akan menjadi penangkis manakala tangan kanan melepaskan tumbukan dan disusuli dengan tangan kiri.

Hasil kedudukan sepenuhnya, ialah kaki kiri di hadapan dengan tangan kiri menjurus ke hadapan.

Cukuplah sampai di sini untuk sesi jurus satu. Akan datang paman akan sambung dengan jurus dua pula.

Semoga kepada pelatih yang pernah belajar kunta dapat membuat ulangkaji. Paman akan menulis tentang kunta setiap 2 minggu sekali. Kepada mereka yang pernah belajar kunta sentiasalah mengikuti catatan paman. Bagi yang baru baca dan latih sendiri semoga memberi menafaat kepada anda.

Jumpa lagi pada 2 minggu akan datang. InsyaAllah. Salam persaudaraan.


Khamis, 25 Jun 2009

LATIHAN PERNAFASAN

Hari ini paman akan membicarakan latihan pernafasan. Latihan ini boleh dipraktikalkan melalui cara berdiri atau duduk. Paman akan berkongsi dengan pembaca akan kedua-dua cara latihan pernafasan ini.

Cara 1 - duduk.

Duduk yang dimaksudkan di sini ialah dengan duduk bersila. Kaki kanan dilipat bersila di atas kaki kiri. Badan dalam keadaan tegak seperti seorang yoga. Tangan kanan diletakkan di atas kaki kanan dengan hujung jari hantu tangan menyentuh ibu jari kaki kanan yang berlipat di atas kaki kiri pada bahagian lutut kiri.

Manakala tangan kiri dengan jari hantu tangan kiri menyentuh ibu jari kaki kiri di bawah lipatan lutut kaki kanan.

Kemudian, lakukan tarikan nafas dengan tangan bergerak mengusap batang kaki, bahagian sisi badan, muka dan juruskan tangan kedua-duanya kehadapan muka jauh ke hadapan dalam kedudukan kedua telapak tangan bertemu seakan orang menyembah dengan hujung jari menghadap jauh ke hadapan seperti orang sedang membuat jurusan tumbukan dengan hujung jari kedua-dua telapak tangan rapat.

Setelah itu telapak tangan kiri memegang pergelangan tangan kanan disisik hingga ke lengan dan balik semula ke pergelangan tangan. Buat sekali lagi pergerakkan yang sama untuk sebelah kiri pula.

Semua pergerakan ini daripada mula hingga kepada pergelangan tangan dalam keadaan menyedut nafas. Setelah sempurna barulah lepaskan nafas daripada mulut.

Cara ke2

Latihan pernafasan gaya berdiri. Langkah pertama, kedua tangan diletakkan di sisi, sedut nafas dalam daripada hidung sambil kedua tangan diangkat sehingga paras dada. Gerakkan kedua telapak tangan perlahan-lahan menghadap ke depan dan tahan nafas, langkah 3, hembuskan nafas melalui mulut perlahan-lahan dengan tangan bergerak perlahan ke bawah di sisi pinggang.

Semua peringkat pergerakan dengan nafas tersebut dalam bilangan 7. Maksudnya sedut nafas sehingga tangan berada paras dada dalam bilangan 7. Kemudian tahan nafas dengan gerak telapak tangan menjurus jauh ke hadapan dalam bilangan 7. Dan lepaskan nafas melalui mulut dengan kedudukan tangan perlahan-lahan lurus hingga ke sisi pinggul dengan bilangan 7.

Selepas latihan nafas yang diulang latih tiga kali atau lebih barulah mula kepada latihan jurus.

Latihan jurus kunta akan paman bicarakan pada hari yang lain pula.

Rabu, 24 Jun 2009

SENI SILAT KUNTA

Minggu-minggu yang lepas kita telah membicarakan tentang falsafah seni silat kunta - kaf, wau, nun, taa dan alif.

Pada pertemua kali ini, paman akan membicarakan perkenaan teori pergerakan fizikal seni silat kunta.

Seni silat kunta terdiri daripada tiga jurus dan lima peringkat langkah.

Tiga Jurus:
-Jurus 1, Jurus 2 dan Jurus 3

Lima gerak langkah:

- Peringkat 1: Langkah 4
- Peringkat 2: Langkah 8
- Peringkat 3: Langkah 12
- Peringkat 4: Langkah 16
- Peringkat 5: Langkah 40

Tujuan Latihan Fizikal Jurus:
Bertujuan membuat persiapan tubuh fizikal dan minda supaya mencapai kecerdasan bertindak dengan fizikal yang mantap dan fikiran yang terkawal.

Fizikal yang mantap

Bermaksud mempunyai kekuatan fizikal daripada batang kaki, perut, dada, leher dan tangan.
Latihan jurus di samping membina kekuatan fizikal merupakan asas dalam memahami gerak langkah persilatan kunta.

Hanya kemantapan fizikal yang baik dan seimbang barulah susunan gerak langkah dapat dikawal dan berjalan dengan lancar seperti angin yang berhembus dan bak ombak yang bergerak berlipat-lipat tetapi tidak tersekat-sekat. Gerakan langkah mesti seimbang dengan keluar masuk aliran nafas. Bersahaja, mudah dan lancar.

Sebelum jurus, latihan senaman nafas perlu dipelajari dahulu untuk melancar pergerakan langkah selembut tiupan angin bayu membelai rambut sang gadis atau secantik alunan ombak beralun kejar mengejar mengusap pasiran pantai.

Latihan yang konsisten barulah pengamal sini silat kunta dapat membentuk tubuh fizikal yang mantap dan gerak isi yang padat.

Terima kasih, kepada yang berminat mengikuti seni beladiri kunta. Semoga bertemu di masa akan datang paman ucapkan jagalah diri sayangi pesaka bangsa.

Isnin, 9 Mac 2009

Seni Silat Kunta ( kaf,wau, nun, taa, alif)
Membawa makna tersendiri dan menjadi falsafah kunta yang wajib difahami oleh ahli yang menyatakan bahawa mereka adalah pemilik, pewaris atau murid yang mengakui bahawa kunta adalah persilatan yang pernah dipelajari dan diamalkan.

'Kaf'
Huruf 'KAF' - membawa maksud kudrat.
Kudrat merupakan kuasa, kekuatan, tenaga yang bersumber daripada kuasa yang Maha Besar yang memiliki seluruh alam jagat. Itulah ALLAH S.W.T.

Allah yang telah meniupkan ruhNya kepada manusia dari dalam rahim ibu. Ruh yang suci yang diberikan kepada manusia sebagai tanda kasih sayangNya. Rahmat yang sangat tinggi nilainya yang sepatutnya kita hargai dan sentiasa mensyukuri segala nikmat yang diberikan dengan menjaga dan menghargai kudrat yang dipinjamkan itu.

Manusia yang berasal usul daripada tanah kering yang hina dina menjadi jasad kepada Nabi Adam Alaihissalam merupakan sangkar sahaja. Ketahuilah wahai saudara-saudaraku bila jasad sudah tidak ditempati oleh roh maka tinggallah jasad kosong, busuk, mereput dan kembali ke asalnya. Tanah.

Maka kudrat yang menjadi kekuatan jasad adalah roh. Roh yang stabil dan kuat akan mampu membawa jasad ke arah yang bermanafaat dan terarah. Roh yang tidak terbimbing di jalan Allah tidak akan tenang dunia dan akhirat. Maka suburkanlah roh dengan balutan zikrullah. Samaada semasa berdiri, duduk atau baring kita dikehendaki senantiasa mensyukuri nikmat Allah yang tidak terkira banyaknya.

Memahami kudrat yang terpancar daripada jasad sementara adanya roh maka hendaklah kita perkukuhkan roh dengan zikrullah dan pemantapan jasad dengan makanan yang berzat dan latihan jasmani yang mesti dan wajib disyukuri dengan lafaz mengingati Allah yang Maha Pemurah lagi Maha Penyayang.

Apabila kita sudah memahami sumber asal kudrat jasad maka hendaklah kita insaf kudrat pada hamba Allah yang lain supaya tidak dimusnahkan mengikut hati dan perasaan yang dibakar oleh syaitan tetapi dengan niat solatku, ibadahku, hidup dan matiku semata-mata kerana Allah Subhanahuwata'alla. Wallahu'alam.

'wau'

'Wau' adalah huruf jawi yang mewakili wajah. Wajah dalam persilatan kunta membawa maksud rupa, bentuk, gaya yang mencerminkan isi dalaman sesuatu sifat. Wajah mewakili rupa gerak permainan. Ia boleh digunakan untuk memahami gerak langkah seni silat kunta sendiri dan seni silat yang diguna pakai oleh pihak lawan.

Mengenali wajah sesuatu persilatan itu penting untuk memahami gerak perjalanan permainan dan tipu muslihat yang digunapakai oleh sesuatu perguruan. Maka dengan itu kunta berupaya menyelami cara dan permainan pihak lawan. Memahami wajah sendiri adalah perkara yang utama perlu dipelajari dan difahami dengan mendalam sebelum memahami atau membaca wajah pihak lawan. Tanpa memahami dan menguasai wajah sendiri amatlah sukar untuk ahli kunta mengatasi permainan pihak lawan.

Ahli kunta yang dapat mengusai wajah persilatan sendiri dapat menghadapi apa jua jenis persilatan lain. Cari, kaji dan kenalilah dengan sebenar-benarnya wajah sendiri sebelum melihat wajah orang lain.

Selamat membuat kajian.................... dan jadilah ahli kunta yang berkemahiran tinggi.

'NUN'
Huruf 'nun' membawa makna neraca. Neraca adalah simbolik kepada timbangan. Timbangan adalah ukur nilai berat ringan. Dalam seni silat kunta, neraca merupakan timbang tara dalam menghadapi apa jua situasi diri dalam menghadapi musuh atau persoalan.

Setiap gerak dan tindakkan memerlukan ketelitian dan pertimbangan dengan mengkaji aspek kudrat (kaf) dan wajah (wau). Pengamal ilmu silat kunta tidak bertindak terburu-buru sebelum melihat falsafah 'kaf' dan 'wau' terlebih dahulu.

Falsafah 'nun' - neraca, memerlukan kecekapan daya fikir dan kreativiti sebelum membuat sebarang tindakan. Seorang kunta tidak akan bertindak melulu dan melampaui batas sebelum membuat pertimbangan dengan neraca akal fikir yang tidak digoda oleh syaitan (kemarahan).
Kemarahan akan membuat diri hilang kawalan dan keseimbangan. Keadaan seperti ini boleh mengundang padah dan bencana pada diri pengamal kunta sendiri.

Pengamal kunta yang baik dapat mengaplikasikan falsafah 'nun' dengan sebaik-baiknya sebelum membuat sebarang tindakan.

Bertindaklah dengan wajar. Jinakkan musuh yang garang menjadi sahabat yang paling setia.

Jumpa lagi pada falsafah 'taa' dan 'alif'. InsyaAllah.

'TAA'
'taa' huruf jawi dalam falsafah kunta membawa maksud - Tartib.

Tartib bererti mengikut susunan, yang dahulu didulukan yang kemudian dikemudiankan. Patuh mengikut peraturan syariat agama.

Tartib dalam persilatan, yang muda menghormati yang tua, yang tua menghormati yang muda dan yang dahulu belajar dianggap abang dalam persilatan berdasarkan ilmu dan pengetahuan. Dalam berguru yang tua patut menghormati yang muda jika sekiranya yang muda lebih tinggi ilmunya namun yang muda tetap menghormati yang tua atas dasar pangkat umurnya.

Ini falsafah 'taa' dalam seni silat kunta.

Dalam seni silat kunta: Bermain-main, Main dan Berlawan ada peraturannya. Bila bermain-main pesilat menyusun langkah bergerak dan bermain-main, pukulan digunakan dengan cara isyarat gerak main bermain-main lebih kepada bergurau senda.

Bila MAIN pula pada tahap ini pesilat menyusun langkah dengan gerak pukulan yang tidak terlalu kuat namun ada batas sempadan bermain yang dipersetujui.

Pada tahap berlawan - di antara pesilat tiada ada batas, masing-masing menggunakan kepantasan, kecekapan dan tipu muslihat mengikut pengalaman masing-masing namun kawalan akan diperhatikan oleh guru yang membimbing agar tidak menjadi pergaduhan.

Di sinilah falsafah 'taa' digunapakai harus dan mesti bertartib di setiap gerak dan langkah begitu juga dalam pergaulan tidak melampaui batas dan kurang ajar.

'ALIF'
Alif dalam falsafah kunta ialah iman, seorang ahli kunta mestilah terdidik dengan rukun iman dalam Islam. Percaya kepada Allah, Percaya kepada Rasul, Percaya kepada Kitab, Percaya kepada para Malaikat, Percaya kepada Qodho' dan Qadhar datangnya daripada Allah subhanahuwata'ala, dan yang akhir sekali percaya kepada hari pembalasan ia itu syurga dan neraka.

Demikianlah adanya, falsafah dalam seni silat KUNTA. Seorang kunta yang baik mestilah memahami dan mengamalkan falsafah kunta itu sendiri dengan sempurna. Sekiranya tidak ia sekadar pandai berkuntau sahaja tanpa ada isi dan kebaikan dunia akhirat. Wallahu'alam.

InsyaAllah, masa akan datang saya akan membicarakan jurus dan langkah-langkah dalam seni bela diri kunta.......

Isnin, 9 Februari 2009

Bicara seni silat kunta ( kaf, wau, nun,taa, alif) mempunyai falsafahnya. Sebelum meneruskan bicara ini suka saya membawa kisah 'PENDEKAR'. Sering kali orang akan merasa megah dan bangga dengan gelaran pendekar setelah meraih apa jua kemenangan dalam sesuatu pertandingan pencak silat.

Bagi saya pendekar merupakan singkatan daripada perkataan pandai akal dan bukannya keagungan dan kehebatan mengalahkan lawan dengan tenaga fizikalnya. Pendekar kepada saya merupakan seseorang yang bijaksana menggunakan akalnya menjadikan musuhnya sahabat yang paling akrab dan bukan mencipta musuh atau lawan sepanjang hayatnya......

Pada maksud umum semua memahami PENDEKAR adalah seorang juara yang menewaskan musuhnya digelanggang atau di medan juang. Manakan mungkin itu terjadi kerana si pendekar itu suatu masa tidak bertenaga lagi untuk menjadi juara kerana umurnya, kudratnya yang semakin tua dan lemah.

Makanya seorang yang layak menerima panggilan PENDEKAR adalah seseorang yang berupaya menewaskan lawannya menjadi kawan dan sahabat yang setia.

Kembali kepada seni silat KUNTA.

Adalah yang membawa kepada istilah Kaf - kudrat, wau - wajah, nun-neraca, taa - tartib dan alif - iman.

Cukup sampai di sini dahulu sebagai pengenalan.

Sehingga ketemu lagi di minggu akan datang.

Terima Kasih.

Sabtu, 31 Januari 2009

Morib

Pantai Morib dalam daerah Kuala Langat. 8 km dari Pekan Banting. Negeri Selangor. Malaysia.
Pantai Morib terbahagi kepada 2 bahagian. Pantai Lama dan Pantai Baru.

Gambar menunjukkan jalan ke Pantai Morib Baru yang boleh terus menyusur tepi pantai selat Melaka menuju ke Pantai Baru Kelanang. Bukit Jugra, Makam Diraja Sultan Abdul Samad, rumah api dan Balai Cerap melihat anak bulan di bukit Jugra.