PAKAIAN TRADISIONAL SILAT KUNTA

PAKAIAN TRADISIONAL SILAT KUNTA
Tutup kepala dinamakan 'blangkon' sampin 'dinamakan 'liron'

Khamis, 25 Jun 2009

LATIHAN PERNAFASAN

Hari ini paman akan membicarakan latihan pernafasan. Latihan ini boleh dipraktikalkan melalui cara berdiri atau duduk. Paman akan berkongsi dengan pembaca akan kedua-dua cara latihan pernafasan ini.

Cara 1 - duduk.

Duduk yang dimaksudkan di sini ialah dengan duduk bersila. Kaki kanan dilipat bersila di atas kaki kiri. Badan dalam keadaan tegak seperti seorang yoga. Tangan kanan diletakkan di atas kaki kanan dengan hujung jari hantu tangan menyentuh ibu jari kaki kanan yang berlipat di atas kaki kiri pada bahagian lutut kiri.

Manakala tangan kiri dengan jari hantu tangan kiri menyentuh ibu jari kaki kiri di bawah lipatan lutut kaki kanan.

Kemudian, lakukan tarikan nafas dengan tangan bergerak mengusap batang kaki, bahagian sisi badan, muka dan juruskan tangan kedua-duanya kehadapan muka jauh ke hadapan dalam kedudukan kedua telapak tangan bertemu seakan orang menyembah dengan hujung jari menghadap jauh ke hadapan seperti orang sedang membuat jurusan tumbukan dengan hujung jari kedua-dua telapak tangan rapat.

Setelah itu telapak tangan kiri memegang pergelangan tangan kanan disisik hingga ke lengan dan balik semula ke pergelangan tangan. Buat sekali lagi pergerakkan yang sama untuk sebelah kiri pula.

Semua pergerakan ini daripada mula hingga kepada pergelangan tangan dalam keadaan menyedut nafas. Setelah sempurna barulah lepaskan nafas daripada mulut.

Cara ke2

Latihan pernafasan gaya berdiri. Langkah pertama, kedua tangan diletakkan di sisi, sedut nafas dalam daripada hidung sambil kedua tangan diangkat sehingga paras dada. Gerakkan kedua telapak tangan perlahan-lahan menghadap ke depan dan tahan nafas, langkah 3, hembuskan nafas melalui mulut perlahan-lahan dengan tangan bergerak perlahan ke bawah di sisi pinggang.

Semua peringkat pergerakan dengan nafas tersebut dalam bilangan 7. Maksudnya sedut nafas sehingga tangan berada paras dada dalam bilangan 7. Kemudian tahan nafas dengan gerak telapak tangan menjurus jauh ke hadapan dalam bilangan 7. Dan lepaskan nafas melalui mulut dengan kedudukan tangan perlahan-lahan lurus hingga ke sisi pinggul dengan bilangan 7.

Selepas latihan nafas yang diulang latih tiga kali atau lebih barulah mula kepada latihan jurus.

Latihan jurus kunta akan paman bicarakan pada hari yang lain pula.

Rabu, 24 Jun 2009

SENI SILAT KUNTA

Minggu-minggu yang lepas kita telah membicarakan tentang falsafah seni silat kunta - kaf, wau, nun, taa dan alif.

Pada pertemua kali ini, paman akan membicarakan perkenaan teori pergerakan fizikal seni silat kunta.

Seni silat kunta terdiri daripada tiga jurus dan lima peringkat langkah.

Tiga Jurus:
-Jurus 1, Jurus 2 dan Jurus 3

Lima gerak langkah:

- Peringkat 1: Langkah 4
- Peringkat 2: Langkah 8
- Peringkat 3: Langkah 12
- Peringkat 4: Langkah 16
- Peringkat 5: Langkah 40

Tujuan Latihan Fizikal Jurus:
Bertujuan membuat persiapan tubuh fizikal dan minda supaya mencapai kecerdasan bertindak dengan fizikal yang mantap dan fikiran yang terkawal.

Fizikal yang mantap

Bermaksud mempunyai kekuatan fizikal daripada batang kaki, perut, dada, leher dan tangan.
Latihan jurus di samping membina kekuatan fizikal merupakan asas dalam memahami gerak langkah persilatan kunta.

Hanya kemantapan fizikal yang baik dan seimbang barulah susunan gerak langkah dapat dikawal dan berjalan dengan lancar seperti angin yang berhembus dan bak ombak yang bergerak berlipat-lipat tetapi tidak tersekat-sekat. Gerakan langkah mesti seimbang dengan keluar masuk aliran nafas. Bersahaja, mudah dan lancar.

Sebelum jurus, latihan senaman nafas perlu dipelajari dahulu untuk melancar pergerakan langkah selembut tiupan angin bayu membelai rambut sang gadis atau secantik alunan ombak beralun kejar mengejar mengusap pasiran pantai.

Latihan yang konsisten barulah pengamal sini silat kunta dapat membentuk tubuh fizikal yang mantap dan gerak isi yang padat.

Terima kasih, kepada yang berminat mengikuti seni beladiri kunta. Semoga bertemu di masa akan datang paman ucapkan jagalah diri sayangi pesaka bangsa.
Terdapat ralat dalam alat ini