PAKAIAN TRADISIONAL SILAT KUNTA

PAKAIAN TRADISIONAL SILAT KUNTA
Tutup kepala dinamakan 'blangkon' sampin 'dinamakan 'liron'

Isnin, 9 Mac 2009

Seni Silat Kunta ( kaf,wau, nun, taa, alif)
Membawa makna tersendiri dan menjadi falsafah kunta yang wajib difahami oleh ahli yang menyatakan bahawa mereka adalah pemilik, pewaris atau murid yang mengakui bahawa kunta adalah persilatan yang pernah dipelajari dan diamalkan.

'Kaf'
Huruf 'KAF' - membawa maksud kudrat.
Kudrat merupakan kuasa, kekuatan, tenaga yang bersumber daripada kuasa yang Maha Besar yang memiliki seluruh alam jagat. Itulah ALLAH S.W.T.

Allah yang telah meniupkan ruhNya kepada manusia dari dalam rahim ibu. Ruh yang suci yang diberikan kepada manusia sebagai tanda kasih sayangNya. Rahmat yang sangat tinggi nilainya yang sepatutnya kita hargai dan sentiasa mensyukuri segala nikmat yang diberikan dengan menjaga dan menghargai kudrat yang dipinjamkan itu.

Manusia yang berasal usul daripada tanah kering yang hina dina menjadi jasad kepada Nabi Adam Alaihissalam merupakan sangkar sahaja. Ketahuilah wahai saudara-saudaraku bila jasad sudah tidak ditempati oleh roh maka tinggallah jasad kosong, busuk, mereput dan kembali ke asalnya. Tanah.

Maka kudrat yang menjadi kekuatan jasad adalah roh. Roh yang stabil dan kuat akan mampu membawa jasad ke arah yang bermanafaat dan terarah. Roh yang tidak terbimbing di jalan Allah tidak akan tenang dunia dan akhirat. Maka suburkanlah roh dengan balutan zikrullah. Samaada semasa berdiri, duduk atau baring kita dikehendaki senantiasa mensyukuri nikmat Allah yang tidak terkira banyaknya.

Memahami kudrat yang terpancar daripada jasad sementara adanya roh maka hendaklah kita perkukuhkan roh dengan zikrullah dan pemantapan jasad dengan makanan yang berzat dan latihan jasmani yang mesti dan wajib disyukuri dengan lafaz mengingati Allah yang Maha Pemurah lagi Maha Penyayang.

Apabila kita sudah memahami sumber asal kudrat jasad maka hendaklah kita insaf kudrat pada hamba Allah yang lain supaya tidak dimusnahkan mengikut hati dan perasaan yang dibakar oleh syaitan tetapi dengan niat solatku, ibadahku, hidup dan matiku semata-mata kerana Allah Subhanahuwata'alla. Wallahu'alam.

'wau'

'Wau' adalah huruf jawi yang mewakili wajah. Wajah dalam persilatan kunta membawa maksud rupa, bentuk, gaya yang mencerminkan isi dalaman sesuatu sifat. Wajah mewakili rupa gerak permainan. Ia boleh digunakan untuk memahami gerak langkah seni silat kunta sendiri dan seni silat yang diguna pakai oleh pihak lawan.

Mengenali wajah sesuatu persilatan itu penting untuk memahami gerak perjalanan permainan dan tipu muslihat yang digunapakai oleh sesuatu perguruan. Maka dengan itu kunta berupaya menyelami cara dan permainan pihak lawan. Memahami wajah sendiri adalah perkara yang utama perlu dipelajari dan difahami dengan mendalam sebelum memahami atau membaca wajah pihak lawan. Tanpa memahami dan menguasai wajah sendiri amatlah sukar untuk ahli kunta mengatasi permainan pihak lawan.

Ahli kunta yang dapat mengusai wajah persilatan sendiri dapat menghadapi apa jua jenis persilatan lain. Cari, kaji dan kenalilah dengan sebenar-benarnya wajah sendiri sebelum melihat wajah orang lain.

Selamat membuat kajian.................... dan jadilah ahli kunta yang berkemahiran tinggi.

'NUN'
Huruf 'nun' membawa makna neraca. Neraca adalah simbolik kepada timbangan. Timbangan adalah ukur nilai berat ringan. Dalam seni silat kunta, neraca merupakan timbang tara dalam menghadapi apa jua situasi diri dalam menghadapi musuh atau persoalan.

Setiap gerak dan tindakkan memerlukan ketelitian dan pertimbangan dengan mengkaji aspek kudrat (kaf) dan wajah (wau). Pengamal ilmu silat kunta tidak bertindak terburu-buru sebelum melihat falsafah 'kaf' dan 'wau' terlebih dahulu.

Falsafah 'nun' - neraca, memerlukan kecekapan daya fikir dan kreativiti sebelum membuat sebarang tindakan. Seorang kunta tidak akan bertindak melulu dan melampaui batas sebelum membuat pertimbangan dengan neraca akal fikir yang tidak digoda oleh syaitan (kemarahan).
Kemarahan akan membuat diri hilang kawalan dan keseimbangan. Keadaan seperti ini boleh mengundang padah dan bencana pada diri pengamal kunta sendiri.

Pengamal kunta yang baik dapat mengaplikasikan falsafah 'nun' dengan sebaik-baiknya sebelum membuat sebarang tindakan.

Bertindaklah dengan wajar. Jinakkan musuh yang garang menjadi sahabat yang paling setia.

Jumpa lagi pada falsafah 'taa' dan 'alif'. InsyaAllah.

'TAA'
'taa' huruf jawi dalam falsafah kunta membawa maksud - Tartib.

Tartib bererti mengikut susunan, yang dahulu didulukan yang kemudian dikemudiankan. Patuh mengikut peraturan syariat agama.

Tartib dalam persilatan, yang muda menghormati yang tua, yang tua menghormati yang muda dan yang dahulu belajar dianggap abang dalam persilatan berdasarkan ilmu dan pengetahuan. Dalam berguru yang tua patut menghormati yang muda jika sekiranya yang muda lebih tinggi ilmunya namun yang muda tetap menghormati yang tua atas dasar pangkat umurnya.

Ini falsafah 'taa' dalam seni silat kunta.

Dalam seni silat kunta: Bermain-main, Main dan Berlawan ada peraturannya. Bila bermain-main pesilat menyusun langkah bergerak dan bermain-main, pukulan digunakan dengan cara isyarat gerak main bermain-main lebih kepada bergurau senda.

Bila MAIN pula pada tahap ini pesilat menyusun langkah dengan gerak pukulan yang tidak terlalu kuat namun ada batas sempadan bermain yang dipersetujui.

Pada tahap berlawan - di antara pesilat tiada ada batas, masing-masing menggunakan kepantasan, kecekapan dan tipu muslihat mengikut pengalaman masing-masing namun kawalan akan diperhatikan oleh guru yang membimbing agar tidak menjadi pergaduhan.

Di sinilah falsafah 'taa' digunapakai harus dan mesti bertartib di setiap gerak dan langkah begitu juga dalam pergaulan tidak melampaui batas dan kurang ajar.

'ALIF'
Alif dalam falsafah kunta ialah iman, seorang ahli kunta mestilah terdidik dengan rukun iman dalam Islam. Percaya kepada Allah, Percaya kepada Rasul, Percaya kepada Kitab, Percaya kepada para Malaikat, Percaya kepada Qodho' dan Qadhar datangnya daripada Allah subhanahuwata'ala, dan yang akhir sekali percaya kepada hari pembalasan ia itu syurga dan neraka.

Demikianlah adanya, falsafah dalam seni silat KUNTA. Seorang kunta yang baik mestilah memahami dan mengamalkan falsafah kunta itu sendiri dengan sempurna. Sekiranya tidak ia sekadar pandai berkuntau sahaja tanpa ada isi dan kebaikan dunia akhirat. Wallahu'alam.

InsyaAllah, masa akan datang saya akan membicarakan jurus dan langkah-langkah dalam seni bela diri kunta.......